Rabu, 22 Desember 2010

AGUS SALIM: BIOGRAFI

HAJI AGUS SALIM
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.


Agus Salim
Haji Agus Salim (8 Oktober 1884 - 4 November 1954) ialah salah satu pejuang kemerdekaan Indonesia serta Menteri Luar Negeri dalam Kabinet Amir Syarifuddin I pada 1947 dan Kabinet Mohammad Hatta antara tahun-tahun 1948-1949. Beliau juga pernah menjadi anggota Volksraad antara tahun 1921 hingga tahun 1924.

Latar belakang
Agus Salim dilahirkan di Koto Gadang, Bukittinggi, Minangkabau dengan nama Mashudul Haq yang membawa pengertian "pembela kebenaran" kepada pasangan Angku Sutan Mohammad Salim dan Siti Zainab. Ayahnya seorang ketua pendakwah di Mahkamah Tinggi Riau.

Selepas tamat pendidikan dasarnya di Sekolah Rendah Europeesche Lagere (ELS), sekolah khusus anak-anak Eropah, Agus Salim melanjutkan pendidikannya di Sekolah Menengah Hoogere Burgerschool (HBS), Batavia dan merupakan pelajar yang terbaik di HBS se-Hindia Belanda.

Setelah lulus, Salim bekerja sebagai penterjemah dan pembantu notari di sebuah syarikat pelombongan di Indragiri. Pada tahun 1906, Salim bertolak ke Jeddah, Arab Saudi untuk bekerja di Konsulat Belanda di sana. Pada masa inilah Salim dididik oleh Syeh Ahmad Khatib yang merupakan bapa saudaranya.

Salim kemudian terjun ke dalam dunia kewartawanan pada tahun 1915 ketika menyertai akhbar Harian Neratja sebagai Editor II dan akhirnya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Editor. Beliau menikah dengan Zaenatun Nahar dan dikurniakan lapan orang anak. Kegiatannya dalam bidang kewartawanan terus berlangsung sehingga akhirnya menjadi ketua akhbar Hindia Baroe di Jakarta. Salim kemudian mengasaskan akhbar Fadjar Asia dan selanjutnya menjadi editor akhbar Moestika di Yogyakarta . Beliau mengasaskan Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN (AIPO) dan bersamaan dengan ini, terjun ke dalam dunia politik sebagai ketua Sarekat Islam.

Kerja Politik
Pada tahun 1915, Salim menyertai Sarekat Islam dan menjadi ketua keduanya selepas H.O.S. Tjokroaminoto. Peranannya pada masa perjuangan kemerdekaan Republik Indonesia antara lain termasuk:

• anggota Volksraad (1921-1924)
• anggota jawatankuasa Badan Penyelidik Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) yang mempersiapkan UUD 1945
• Menteri Muda Luar Negeri dalam Kabinet Sjahrir II (1946) dan Sjahrir III (1947)
• pembukaan hubungan diplomatik Indonesia dengan negara-negara Arab, terutamanya Mesir pada tahun 1947
• Menteri Luar Negeri dalam Kabinet Amir Sjarifuddin (1947)
• Menteri Luar Negeri dalam Kabinet Hatta (1948-1949)

Antara tahun-tahun 1946-1950, Salim laksana bintang cemerlang dalam pergolakan politik Indonesia sehingga kerap kali digelar "Orang Tua Besar". Beliau menjawat Menteri Luar Negeri dalam Kabinet Presiden Indonesia dan pada tahun 1950 sehingga akhir hayatnya merupakan Penasihat Menteri Luar Negeri.

Pada tahun 1952, Salim menjadi Ketua Dewan Kehormatan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI). Biarpun pennya tajam dan kritikannya pedas, namun Salim masih mengenal batas-batas dan menjunjung tinggi Kod Etika Kewartawanan.

Setelah berundur daripada dunia politik, Salim mengarang sebuah buku pada tahun 1953 yang berjudul Bagaimana Takdir, Tawakal dan Tauhid harus difahami? yang kemudian diperbaiki menjadi Keterangan Falsafah Tentang Tauhid, Takdir dan Tawakal.
Salim meninggal dunia pada tahun 1954 di Hospital Besar Jakarta dan dimakamkan di Taman Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar